Senin, 17 Februari 2014

Program Mylesen Sasar 500 000 Peserta Setahun


KLUANG – Program Mylesen yang akan diperkenalkan Januari depan menyasarkan kira-kira 500,000 peserta setahun sebagai usaha membantu rakyat khususnya belia yang bermasalah, mendapatkan lesen motosikal.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata mereka yang disasarkan ialah kelompok usia 16 hingga 45 tahun, terutama pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Objektif Mylesen adalah untuk menggalakkan belia yang kurang berkemampuan memiliki lesen memandu motosikal kelas B2 yang sah,” katanya kepada pemberita selepas program Hari Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bersama Pelanggan, di sini, malam tadi.

Abdul Aziz berkata, dengan kadar bayaran RM198 seorang, program itu turut mendidik peserta tentang undang-undang jalan raya sekali gus membina etika pemanduan selamat dalam kalangan belia.

Langkah ini katanya, diyakini dapat membantu kerajaan merealisasikan matlamat mengurangkan kadar kemalangan motosikal selain mengelak pihak ketiga mengambil keuntungan melampau daripada calon yang ingin mendapatkan lesen memandu.

Katanya, program itu akan dilaksanakan oleh JPJ negeri dengan kerjasama Persatuan Institut Memandu Malaysia yang mempunyai 195 buah institut memandu di seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah JPJ Johor, Johari Yusof ketika berucap dalam majlis berkenaan, berkata perkhidmatan kaunter bergerak JPJ Johor akan diperluaskan dengan penambahan tiga buah van berbanding hanya sebuah ketika ini.

Beliau berkata, lebih banyak kiosk juga akan disediakan di tempat tumpuan awam terutamanya di pusat membeli-belah, untuk memudahkan orang ramai berurusan dengan JPJ berbanding hanya empat kiosk ketika ini yang disediakan di Johor Bharu, Kluang dan Muar.

Katanya, antara khidmat yang disediakan melalui perkhidmatan kaunter bergerak JPJ dan kiosk terbabit ialah memperbaharui lesen memandu, membayar saman serta menukar lesen lama kepada yang baru. – BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar